Monday 14 November 2011


“Sedajah mengkuang”

Burung murai gila mula menggila, matahari yang tadinya lena mula terjaga. Seperti hari-hari sebelumnya, Pak Dol mula menyiapkan perkakas perangnya sebelum laungan keramat mula kedengaran. Hari-hari Pak dol berperang. Perangnya hanya menggunakan sebilah parang. Berperang pula  bukanlah dengan sesama manusia. Tapi hanyalah dengan pokok mengkuang yang menjadi sumber pendapatan keluarganya.
“Aku dah nak pergi ni Kuntum, tolong ambilkan botol air aku di atas meja itu ya.” Pak Dol yang duduk di atas tangga rumahnya bingkas bangun sambil menyelitkan parang di pinggangnya.
“Baiklah abang, hati-hati masuk ke hutan itu. Kalau sudah tidak larat, jangan paksa diri pula.” Pesan Mak Kuntum kepada suaminya.
“Aku tahu lah, aku bukan budak-budak. Celik sahaja mata, memang hutan ini dulu yang aku nampak. Pokok mengkuang dengan aku pula macam abang dengan adik dah pun.” Pak Dol membalas.
Pak Dol merupakan anak jati Kampung Aur. Walaupun sudah separuh abad dia hidup di muka bumi ini, dia tidak pernah berhijrah ke mana-mana tempat untuk mencari pekerjaan. Daripada sebelum berkahwin, sampailah sudah beristeri dan mempunyai seorang anak, dia tetap dengan kerjayanya sebagai seorang penganyam tikar mengkuang. Walaupun hasil pendapatan daripada penjualan tikar mengkuangnya tidak seberapa, namun Pak Dol masih lagi mampu membesarkan anak tunggalnya dan menghantar anaknya itu belajar di sekolah yang terletak di pinggir kampung.
“Assalamualaikum... Mak, Aman dah balik ni.” Musalman yang baru pulang dari sekolah duduk di birai pintu hadapan rumahnya sambil membuka kasut.
“Eeh, anak mak dah balik rupanya. Tanggal kasut itu cepat, mak dah siapkan nasi untuk kau makan”. Memandangkan Musalman merupakan satu-satunya anak yang Mak Kuntum ada, dia sering dilayan dengan penuh kasih sayang oleh ibunya. Malah, kadang-kadang hendak makan pun masih disuapkan oleh ibunya lagi. Layanan penuh kasih sayang Mak Kuntum terhadap anaknya itu sememangnya wajar kerana Musalman adalah seorang anak yang sangat baik dan patuh kepada kedua ibu bapanya walaupun dia tidaklah begitu pandai dalam pelajaran.
“Abah belum balik lagi ke mak?” Tanya Musalman sambil mengunyah nasi berlaukkan sambal ikan bilis masakan maknya itu.
“Macam Aman tidak tahu pula abah Aman itu macam mana. Bila itik dah nak masuk reban, barulah dia tahu nak balik rumah.” Mak Kuntum menjawab pertanyaan anaknya. Sememangnya Musalman amat rapat dengan ibunya berbanding dengan bapanya. Manakan tidak, Musalman hanya dapat bertentang mata dengan ayahnya itu hanya selepas fajar melabuhkan tirai. Namun ada juga sehari dua dalam sebulan mereka dapat bersemuka tanpa suluhan pelita minyak tanah iaitu ketika Pak Dol tidak ke hutan kerana sakit, ataupun hasil jualan tikar mengkuangnya agak memberangsangkan.
“Mak, hari sabtu ini cikgu minta mak dan abah datang ke sekolah. Cikgu kata ada solat hajat.” Ujar Musalman sambil mengutip nasi yang terjatuh di lantai. Musalman merupakan murid darjah enam di Sekolah Kebangsaan Sungai Puteri. Sama seperti sekolah-sekolah lain, sekolah Musalman juga sering mengadakan program solat hajat bersama ibu bapa menjelang musim peperiksaan UPSR.
Belum sempat mak Kuntum membalas, Musalman terus berkata-kata. “Boleh atau tidak mak? Tapi mak dengan abah tahu solat ke? Aman tidak tahu sangat, tapi ustaz ada ajar.” Mak Kuntum hanya terdiam.
“Aman sudah habis makan nasi? Kalau sudah habis, letak pinggan dekat tempat biasa ya.” Mak Kuntum cuba mengalihkan topik perbualan. Sebenarnya, mak Kuntum dan Pak Dol memang tidak celik dalam hal-hal agama. Kecetekan ilmu agama mereka membataskan mereka untuk menjalani kehidupan sebagai penganut agama Islam yang sebenar-benarnya. Jika diimbau kembali, pasangan ini hanya pernah bersolat bersama-sama hanya sebanyak dua kali sahaja sejak mula berkahwin. Itupun disebabkan sesetengah penduduk Kampung Aur termasuk Pak Dol dan Mak Kuntum terpaksa dipindahkan ke surau Kampung Batu ekoran banjir besar yang berlaku pada lima belas tahun yang lalu.
Walau bagaimanapun, ketika bulan ramadhan, keluarga mereka tetap berpuasa seperti keluarga-keluarga lain kerana  ibadah puasa di dalam bulan ramadhan agak sinonim dengan adat Melayu sejak turun temurun, khususnya setelah kedatangan agama Islam di Tanah Melayu.
“Sudah habis makan mak. Mak, mak belum jawab lagi pertanyaan Aman tadi. Kalau mak dengan abah nak datang, cikgu minta bawa sedajah sendiri. Cikgu kata, sedajah dekat sekolah tidak cukup.” Musalman menjelaskan kepada ibunya dengan satu helaan nafas.
“Sedajah? Sedajah itu apa Aman?” Tanya Mak Kuntum kepada Musalman degan penuh kehairanan.
“ Sedajah itu kain la mak, yang orang buat alas semasa solat tu. Aman rasa, dekat rumah kita ni tak ada sedajah. Boleh kan kalau mak minta abah beli?
Mak Kuntum hanya mengangguk. ‘Sedajah’ yang dimaksudkan oleh Musalman itu sebenarnya ialah sejadah iaitu kain yang dijadikan sebagai alas sewaktu bersujud ketika solat. Memandangkan Pak Dol dan Mak Kuntum boleh dikatakan tidak pernah langsung menunaikan rukun islam kedua itu di rumah mereka, maka tidak hairanlah seandainya sejadah yang kebiasaannya terdapat di setiap rumah orang lain, tiada di rumah mereka.
“Nanti abah dah balik, kau beritahu la kat abah ya. Tapi Aman, mak tak boleh janji yang mak akan pergi sekolah kau itu nanti. Banyak lagi daun-daun mengkuang yang mak belum anyam. Pagi tadi penghulu kampung ada tempah tikar mengkuang. Banyak juga yang ditempahnya.”
Mak Kuntum cuba memberikan alasan yang paling munasabah kepada anak tunggalnya itu untuk tidak hadir ke sekolah bersama-sama bersolat hajat. Sama seperti suaminya, Mak Kuntum memang tidak begitu arif tentang soal agama. Bahkan, niat bersembahyang pun tidak diketahuinya. Nasib baiklah surah Al-Fatihah pernah dihafalnya satu ketika dahulu dan sehingga kini surah itulah satu-satunya surah yang mampu dibaca oleh Mak Kuntum. Hal yang demikian membuatkan ibu yang berusia empat puluh lapan tahun itu menjadi malu untuk berbicara dengan Musalman tentang apa-apa sahaja perkara yang berkaitan agama.
“Baiklah mak, kalau mak tak dapat datang pun tak apalah. Aman cuba ajak abah sahaja untuk datang nanti ya.” Musalman cuba menunjukkan reaksi bahawa dia tidak kisah dengan penolakan ibunya tadi. Jauh di sudut hatinya, dia berasa sungguh dukacita kerana sejak dari darjah satu, ibunya tidak pernah hadir ke sekolah setiap kali diundang. Jika ada pun, semasa Musalman darjah dua. Itulah kali pertama dan terakhir Mak Kuntum menjejakkan kakinya ke sekolah Musalman untuk menanda tangan buku rekod pencapaian peperiksaan akhir tahun Musalman. Begitulah juga kisahnya dengan Pak Dol yang langsung tidak pernah berkunjung ke sekolah Musalman.
Saat jarum pendek jam dinding yang terpaku kemas di dinding teratak kayu berbilik dua itu menunjuk ke arah angka tujuh, Pak Dol mula kelihatan pulang membawa daun-daun mengkuang yang diikat rapi. Daun-daun mengkuang yang didapatkannya di hutan itu kemudian dicampakkan di bawah rumah. Pak Dol naik ke rumahnya itu dengan kepenatan.
“Abang pergilah mandi dulu, kejap lagi Tum sediakan nasi untuk abang ya.” Mak Kuntum bersuara dengan lembut.
Pak Dol selesai membersihkan diri dan mula bersila di lantai papan rumahnya untuk mengisi perutnya yang agak kelaparan setelah seharian berhutan. Seperti kebiasaannya, Mak Kuntum menyajikan nasi dan lauk pauk untuk suaminya yang kelaparan itu. Ulam-ulaman yang menghijau di sebalik tudung saji membuka selera Pak Dol untuk memulakan santapan. Pada masa yang sama, Musalman yang sedang membuat kerja rumah yang diberikan oleh gurunya seakan-akan tidak sabar untuk memulakan komunikasi dua hala antara dia dan bapanya.
“Abah dah sudah makan?” Tanya Musalman. “Haah Man, tak kan kau tak nampak abah dah siap makan ni.” Balas Pak dol.
Musalman agak keliru sama ada ingin memberitahu kepada Pak Dol atau tidak perkara yang sudah dinyatakannya kepada Mak Kuntum  pada siang hari tadi. Musalman bimbang sekiranya perkataan-perkataan yang bakal keluar dari mulut ayahnya itu akan mengecewakannya sekali lagi. Tapi, Musalman nekad memberanikan diri.
“Abah, boleh tak abah datang sekolah Aman hari sabtu ni? Cikgu suruh jemput abah, ada buat solat hajat untuk periksa tak lama lagi.”
Pak Dol mengurut-urut sendiri kakinya yang kekejangan akibat berjalan jauh pada siang hari tadi. Mak Kuntum pula sibuk menganyam daun mengkuang untuk dijadikan tikar. Musalman ternanti-nanti jawapan yang akan diberikan oleh ayahnya.
“Abah bukannya tak nak pergi ke sekolah kau itu, tapi abah banyak kerja. Kau pun tahu kan kita ni orang susah. Kalau abah tak pergi masuk hutan, tak berduit la kita Man.”
Musalman terdiam seketika. Namun seperti biasa, Musalman agak tabah dan lali mendengar jawapan yang sedemikian. Musalman mula bangun dan menghampiri ayahnya. Musalman lantas memegang tangan ayahnya dan memandang tepat ke arah wajah ayahnya itu.
“Tak apa abah, Aman faham. Aman tak kisah pun. Tapi abah, boleh tak abah belikan sedajah untuk Aman? Cikgu minta bawa untuk solat hajat nanti. Lagipun, Aman teringin la nak belajar solat dan bersolat dekat rumah.” Musalman cuba memujuk ayahnya.
Pak Dol kehairanan. “Sedajah? Apa sedajah itu Man? Kau maksudkan sejadah ke?”
Walaupun Pak Dol jahil dalam soal agama, namun pengalaman hidupnya selama lebih lima puluh tahun banyak membantunya dalam mengetahui pelbagai perbendaharaan kata termasuklah golongan kata nama seringkas ‘sejadah’. Musalman pula ternganga seketika. Dia agak geli hati kerana apa yang dituturkannya selama ini adalah salah. Kain yang digunakan sebagai alas untuk bersujud ketika bersolat yang disangkanya selama ini dipanggil ‘sedajah’ sebenarnya ialah sejadah. Namun, mata dan pendengarannya kembali fokus kepada ayahnya beberapa detik kemudian.
“Kalau sejadah itu, abah rasa tak payahlah kita nak membazir duit untuk beli. Abah boleh buatkan untuk kau. Daun mengkuang kat bawah rumah kita ni banyak lagi. Biar abah buatkan sejadah mengkuang untuk kau ya.” Pak Dol cuba mengembalikan kegirangan di hati anaknya itu setelah dua permintaan awal anaknya itu ditolak bulat-bulat.
“Kalau macam itu tak apalah abah, asalkan ada sedajah pun cukuplah. Eh, silap pula! Asalkan ada sejadah pun cukuplah abah. Tak kisahlah mengkuang ke apa ke, yang penting ada.” Musalman mula beredar dari sisi ayahnya dan menuju masuk ke bilik. Sejurus tiba di bilik persendiriannya, Musalman terus menuju ke jendela yang masih tidak bertutup walaupun mentari sudah sekian lama menghilangkan diri. Musalman duduk menupang dagu di muka jendela. Hatinya karam dalam samudera hampa. Dia benar-benar berharap ibu dan ayahnya dapat sama-sama hadir ke sekolah pada hari sabtu ini untuk menunaikan solat hajat. Paling tidak pun, hati kecilnya itu masih lagi menginginkan sekurang-kurangnya sejadah baharu yang dibeli di kedai dan bukannya sekadar sejadah mengkuang yang dianyam oleh ayahnya.
Alangkah bagus kalau mak dan abah aku ustaz? Aku pasti bahagia kalau aku anak orang kaya kan? Boleh beli apa-apa sahaja dengan duit yang aku ada. Dia tertanya-tanya sendiri. Terguris hatinya tidak terperi sakitnya. Namun Musalman sering mengingati kata-kata ustaznya di sekolah. “Seorang anak yang baik, adalah anak yang tidak derhaka kepada ibu bapanya dan sentiasa menerima kekurangan yang dimiliki oleh keluarganya.” Kata-kata keramat itulah yang menjadi pegangan kepada anak setahun jagung ini.
Di beranda rumah, kelihatan Pak Dol sedang menyusun atur daun-daun mengkuang yang sudah diproses sejak awal lagi. Membuat tikar mengkuang bukanlah sesuatu perkara yang mudah. Banyak kerja perlu dilakukan. Daripada mencari daun mengkuang itu sendiri, sehinggalah ke peringkat mewarnakan daun tersebut. Sebelum mewarna pula, daun-daun mengkuang itu perlulah dipotong, dilayur, dijangka, dilurut dan direndam terlebih dahulu.
Namun bagi Pak Dol, kerja-kerja “menjangka” daun mengkuanglah yang paling remeh. Hal ini kerana menjangka daun mengkuang melibatkan proses membelah daun tersebut menjadi bilah-bilah kecil dengan menggunakan alat yang dipanggil ‘jangka’. Daun perlu diletakkan di atas peha dan jangka bermata tajam dicucuk pada daun dan ditarik perlahan-lahan. Saiz bilah pula ditentukan melalui penggunaan jangka itu sendiri. Sekiranya bilah yang bersaiz kecil dekehendaki, jangka yang mempunyai jarak mata yang rapat digunakan. Begitulah sekira sebaliknya. Melalui proses menjangka ini jugalah duri yang terdapat di bahagian kiri dan kanan daun akan dibuang. Sejak lebih tiga puluh tahun yang lalu, tidak terkira banyaknya duri mengkuang yang sudah tersusuk di tangan Pak Dol. Malah ada duri-duri mengkuang yang sudah bersemadi dengan aman di dalam isi tubuhnya.
Pak Dol bersendirian lagi di beranda rumahnya. Dia Hanya ditemani dengan pancaran rembulan dan sinaran pelita minyak tanah. Pak Dol sudah mula ‘melagang’ daun-daun mengkuang yang telah disusun pada sebelumnya. ‘Lagang’ merupakan tulang kepada sesuatu penciptaan dan rupa bentuk anyaman. Ukuran panjang sesuatu tikar bergantung kepada ukuran lagangan yang dibuat. Tiap-tiap satu bilah mengkuang dibentuk seperti huruf ‘V’ di bahagian tengah iaitu tempat sesuatu anyaman bermula. Pak Dol benar-benar bersemangat untuk menganyam seperti waktu sebelum senjanya. Bezanya kali ini cuma mengkuang yang bakal dianyam bukanlah untuk dibuat tikar dan untuk dijual, tetapi untuk dibuat sejadah. Sejadah yang bakal diberikan kepada Musalman.
“Bang, nak Tum tolong lepihkan tak daun-daun itu lepas abang anyam nanti?” pelawa Mak Kuntum. “Tak apa la Kuntum, biar aku buat sendiri. Kau pergi la masuk tidur dulu.” Pak Dol menolak. Dia meneruskan kerjanya menganyam daun mengkuang itu secara sulaman untuk mendapatkan berbagai warna dan corak. Pak Dol cukup tahu bahawa Musalman sangat tertarik dengan sesuatu yang mempunyai corak yang unik dan warna yang berbagai. Oleh sebab itulah sejadah yang ingin dibuat untuk Musalman itu tidak dianyam secara biasa ataupun secara kelarai kerana Pak Dol ingin menghasilkan sesuatu yang istimewa buat anak tunggalnya itu.
Hampir tiga jam berlalu, Pak Dol akhirnya sudah sampai ke peringkat menyisip iaitu proses yang memerlukan alat penyisip digunakan bagi meregangkan bahagian anyaman untuk memudahkan lebihan bilah daun yang direncungkan itu masuk. Pak Dol berbuat begitu bertujuan untuk mengelakkan anyaman daripada terburai. Pak Dol kemudian mengerat lebihan atau baki bilah daun anyaman degan menggunakan pisau untuk memastikan anyaman kelihatan kemas dan lebih menarik. Selesai sudah Pak Dol menganyam sejadah mengkuang buat anaknya. Setelah selesai mengemas, Pak Dol terus masuk ke dalam rumah.
Pak Dol menyingkap langsir biliknya dan bertanya. “Tum, Aman dah tidur ke?”
“Entahlah abang, cuba la awak pergi tengok sendiri.” Mak Kuntum menjawab sambil menghunuskan jari telunjuknya ke arah bilik Musalman yang terletak bersebelahan dengan biliknya.
Pak Dol berjalan perlahan menuju ke bilik Musalman. Di tangannya terpegang erat satu karya seni yang menjadi kebanggaan bangsa Melayu. Fungsi sahaja berlainan, namun ketelitian cara pembuatannya masih lagi sama. Nilai pembuatannya tetap di takuk yang tersendiri.
“Man, kau dah tidur ke? Abah dah siapkan kau punya sejadah ni. Nanti bolehlah kau bawa ke sekolah." Musalman diam membisu. Matanya tetutup rapat, helaan nafasnya sedikit berbunyi.
“Man dah tidur ya. Tak apalah, abah letak kat atas meja ya. Esok Aman tengoklah sejadah Aman ni. Abah pasti kawan-kawan dan cikgu Aman pun tidak pernah tengok sejadah yang secantik ini.” Pak Dol bermonolog sambil mengusap-usap rambut Musalman.
Sejurus Pak Dol keluar dari bilik Musalman, Musalman terus membuka mata dan duduk bersila di atas tilamnya. Musalman hanya berpura-pura tidur semasa ayahnya masuk sebentar tadi. Mungkin dia terasa hati dengan ayahnya, atau mungkin juga dia sengaja berbuat sedemikian. Musalman mencapai sejadah mengkuang yang terletak di atas meja sebelah kanannya.
“Sayang juga abah dekat aku. Cantik sangat sejadah ni walaupun hanya diperbuat daripada daun mengkuang.” Musalman berbicara sendiri. Musalman sememangnya seorang kanak-kanak yang sangat pandai menghargai pemberian orang. Ada satu ketika dahulu, gurunya pernah menghadiahkannya sebatang pensil kerana lulus dalam mata pelajaran Bahasa Melayu. Sehingga kini, pensil itu masih disimpannya dengan rapi di dalam bungkusan surat khabar lama.
Musalman memeluk erat sejadah yang dihadiahkan oleh ayahnya dan tanpa disedari, dia tertidur sambil memeluk sejadah mengkuang itu.
Kira-kira enam puluh minit sebelum sang suria bangkit seperti kebiasaannya, kelihatan asap mula berkepul-kepul di ruang udara rumah Pak Dol. Api mula menjilat perlahan-lahan teratak kayu yang dibina sejak lebih tiga puluh tahun yang lalu. Tidak lain tidak bukan, pelita minyak tanah yang punya angkara. Pak Dol dan Mak Kuntum tersentak dari buaian lena dan terus mencari pintu hadapan rumahnya untuk menyelamatkan diri.
“Aman, cepat keluar dari rumah! Rumah kita dah terbakar.” Pekik Pak Dol. Mak Kuntum hanya mampu terduduk dan menangis. Selang beberapa saat selepas pekikan Pak Dol, kelihatan Musalman keluar dengan penuh tergesa-gesa. Namun belum sempat Pak Dol ingin menarik nafas lega, Musalman tiba-tiba menggila dengan masuk semula ke dalam rumah yang sedang meriah bernyalakan api.
“Aman, kau nak pergi mana tu? Jangan masuk dalam rumah tu Aman, bahaya.” Laung Pak Dol dengan nada keras. Mak Kuntum pula masih tidak mampu mengawal perasaannya apabila melihat tempat dia bersama keluarga berteduh selama ini sudah menjadi santapan api yang bernafsu.
Pak Dol tidak mampu berbuat apa-apa. Satu-satunya tindakan yang dia mampu lakukan hanyalah berlutut di tanah yang tidak beralas sambil menangisi akan tragedi buruk yang menimpa keluarganya.
Tiba-tiba kelihatan satu kelibat yang berbalutkan kain di seluruhnya tubuhnya. Muncul pula suara halus di sebalik balutan kain itu yang berada betul-betul di hadapan rumah Pak Dol. “Mak, abah, rumah kita dah hangus. Kain baju, buku-buku sekolah, tikar-tikar mengkuang semuanya sudah terbakar mak.” Perlahan-lahan suara itu menghampiri pasangan suami isteri itu.
“Kau selamat nak, kau selamat. Syukur Alhamdulillah.” Mak kuntum menyambar kepada jasad yang mengeluarkan suara tersebut. Pak Dol pula meluru ke punca suara yang kedengaran lalu membuka kain basah yang menyelimuti tubuh kecil itu.
“Maaf mak, abah. Aman tak ada niat pun nak buat mak dan abah risau. Aman cuma nak selamatkan ini.” Musalman bersuara perlahan. Nadanya tidak ubah seperti orang yang terlalu kepenatan bercampur dengan kecewa. Musalman kemudian mengangkat sejadah mengkuang pemberian ayahnya itu ke langit sambil diiringi dengan tangisan sesalan.
Related Posts Plugin for WordPress, Blogger...